Tuesday 13 March 2012

Kata-kata Aluan untuk Buku "40 Hadis Ihsan"


Kata-kata Aluan oleh Al-Musnid Dato' Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin Al-Maliki (hfzl)


Bismillah... Alhamdulillah... Selawat dan Salam ke atas Saidina Rasulullah shollallahu 'alahihi wasallam dan seluruh ahli keluarga dan sahabat Baginda r.a...

Amma Ba'du...

Sesudah menilik-nilik himpunan hadis bersama syarahannya yang berada di tangan para pembaca ini, saya mendapati bahawa ia merupakan karya yang sangat baik dan sesuai untuk diketengahkan kepada masyarakat. Apatah lagi jika diingatkan bahawa sudut Ihsan atau dimensi Tasauf masih sering di abaikan dalam kesungguhan sesetengah di kalangan umat dalam menghayati dan memperjuangkan risalah Islam. Sedangkan sudut Ihsan ini menjadi kunci asasi yang menentukan keberhasilan dan kejayaan mana-mana kebangkitan Islam sepanjang sejarahnya.

Sering pula sisi Ihsan atau Tasauf ini tertohmah dan terpalit dengan pelbagai kekeliruan dan salah tanggapan yang berpunca daripada kejahilan dan hasad mereka yang memusuhinya mahupun kejahilan dan kelalaian sebahagian para pendokongnya sendiri. Di antara punca situasi ini ialah kegagalan untuk melandaskan penggarapan sisi Ihsan ini dengan panduan hadis-hadis berbekalkan seluk-beluk ilmu hadis yang tersendiri. Sedangkan panduan Nabawi daripada hadis-hadis yang khusus dalam bidang ini merupakan bekal utama dalam menggapai maqam Ihsan.

Tulisan ini merupakan sumbangan yang bernilai dalam menangani situasi tersebut dan mengisi kekosongan yang ada. Adalah diharapkan agar tulisan ini menemukan penerimaan yang baik di khalayak umat dan menggalakkan masyarakat untuk terus menekuni penguasaan sisi Ihsan dengan panduan guru-guru yang benar-benar berkeahlian dalam bidang ini. Amin Ya Rabbal `Alamin.

Al Faqir Ila Allah al Qawiyy

Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki

Pengerusi Aqidah , Ahli Majlis Agama Islam dan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan

Pengasas dan Penasihat, Yayasan Sofa.

No comments:

Post a Comment